SALAMFONE Sdn Bhd (Salamfone), pemain industri telekomunikasi terbaru
negara, melakar sejarah tersendiri apabila memperkenalkan perkhidmatan
telekomunikasi mudah alih prabayar berasaskan syariah pertama di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamshul Kasim berkata, pihaknya yakin
Salamfone diterima baik masyarakat Islam di negara ini yang semakin
cenderung mengamalkan cara hidup mematuhi tuntutan agama.
“Salamfone percaya sudah tiba masanya untuk mewujudkan perkhidmatan
telefon mudah alih berasaskan syariah yang relevan dengan masyarakat Islam
di negara ini dan kami sememangnya serius mengenainya.”
“Oleh itu, kami pastikan model perniagaan kami membabitkan pelaburan yang
ditambah nilai dan perkongsian perniagaan yang 100 peratus halal. Dengan
cara ini, kami bukan hanya memelihara integriti jenama Salamfone, malah
membuktikan kepada semua betapa seriusnya kami mengikut prinsip
Islam sebenar, bukan semata-mata menjual produk,” katanya kepada media
bagi memperkenalkan Salamfone menggunakan nombor bermula 0106 di
Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan mampu menyediakan perkhidmatan
ke seluruh negara menjelang akhir tahun.
“Buat masa ini, perkhidmatan Salamfone boleh didapati di Terengganu
sejak 29 Mac lalu, Kelantan (2 April) dan Kedah (4 April). Perkhidmatan di
ibu negara dimulakan selepas majlis pelancarannya malam ini (semalam) dan
menjelang akhir tahun kami yakin mampu menyediakan perkhidmatan
di seluruh Malaysia,” katanya.
Menurutnya, antara perkhidmatan ditawarkan termasuk Infaq iaitu satu sen
didermakan Salamfone kepada rumah kebajikan setiap kali pelanggan
membuat panggilan.
No comments:
Post a Comment